Research Strange Case of Dr Jekyll and Mr Hyde



Bismillahirrahmanirrahim / بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم 

Assalamualaikum.Hai Readers.

Tempoh hari aku menghadiri perbincangan mengenai novel Robert Louis Stevenson yang termahsyur, yakni The Mysterious Case of Dr Jekyll & Mr Hyde. Buku komponen sastera yang aku pelajari sendiri itu kini dibedah semula, dan betapa kami takjub dengan penemuan-penemuan yang mampu mencelikkan mata. Selain daripada tema Good vs Evil, nampaknya banyak lagi unsur-unsur yang kami telah ketepikan secara tidak sengaja dahulu. Beberapa tema ini aku akan bincangkan dibawah.

I. Kotak Masyarakat.

Setiap masyarakat mempunyai kotaknya. Kotak ini berbucukan sangkaan dan berdindingkan tekanan daripada ahli kebanyakkan. Kotak ini menghimpit manusia-manusia disebuah kawasan untuk 'jadi' seperti apa yang diharapkan oleh sesebuah masyarakat tersebut. Maknanya dengan adanya kotak ini, kebebasan seseorang insan itu terhad menurut ukuran apa yang orang disekitarnya mahukan. Dia tidak boleh bertindak apa-apa mengikut seleranya kerana selera masyarakat harus dikenyangkan dahulu. Kotak ini wujud dimana-mana saja, terutamanya dinegara-negara orang Timur dimana adat adalah sebuah keutamaan. 

Jika kita perhatikan latar novel ini ketika itu, Dr Jekyll hidup dalam zaman Victorian. Masyarakat disusun berlapis, dari yang elit melintasi kasta bawahan. Dihiearki atas, doktor-doktor, peguam, ahli politik, orang-orang kaya berdiri tegak. Yang menadah tangan dibawah mereka adalah orang-orang bawahan. Buruh-buruh, tukang besi, tukang surat, dan pelacur-pelacur. Oleh kerana Dr Jekyll berada diatas, maka dia dirantai etika. Dia harus mengikuti etikanya sebagai seorang doktor terhormat. Dia tidak seharusnya berperangai seperti buruh-buruh, tukang besi, tukang surat, dan pelacur-pelacur yang kotor itu.

Disitulah dilemanya bermula. Dr Jekyll mempunyai niat untuk berbuat jahat, tetapi dikekang kotak masyarakatnya sendiri. Dia terpaksa bersenyum dan ketawa bersama mereka. Dia terpaksa menyimpan nafsu jahatnya itu meskipun ia meronta-ronta minta dibebaskan. Masyarakatnya bergulat dengan hipokrasi. Tidak tertahan dengan ini, Dr Jekyll mencipta sebuah posyen yang mampu membenarkan dia berbuat jahat tanpa menempiaskannya terhadap personalitinya yang bangsawan itu. Sebuah lorong escapisme.

Posyen itu merubah dirinya kepada Mr Hyde, seorang goblok, dan kini dia tidak perlu bersembunyi-bersembunyi disebalik bayang untuk berbuat jahat lantas, terbebaskan daripada hipokrasi masyarakat Victorian moden itu.

II. Kejahatan.

"Evil is beyond the reach of no man." Pada mulanya aku sangka tema Good vs Evil menjadi pokok utama, yang membuahkan plot dan dahannya sebagai rangka cerita. Betapa aku silap. Aku perhatikan semula jalan cerita serta substansnya, ternyata akarnya lebih dalam untuk digali. Tema yang lebih relevan adalah kebinatangan v kemanusiaan. Kebinatangan maksudnya disini adalah hidup tanpa kawalan akal. Bertindak tanpa fikir. Berkelakuan menurut nafsu jalang. Tanpa kawalan dan sekat. Kemanusiaan pula, tidaklah harus dilihat dari kacamata ideal, tapi lebih kepada real, keseimbangan, pemikiran dan tindakan yang dipacu oleh akal. Seorang manusia biasa dengan pertimbangan baik buruknya.

Adalah tidak adil untuk kita katakan Dr Jekyll mewakili yang baik-baik dan Mr Hyde sebagai yang jahat-jahat kerana Vladimir Nabokov sendiri pernah menulis, Dr Jekyll bukanlah orang yang baik - sekurangnya dari ukuran masyarakat Victorian. Malah niat mencipta Mr Hyde itu sendiri buktinya bahawa Dr Jekyll tidak suci dari dosa. Konsep dualiti itu tidak bergerak disini.

Namun jika kita memerhatikannya dari sudut yang kedua ini, mungkin ia akan lebih memperjelaskan suasana. Hyde tidak rasional. Dia memijak seorang bocah. Dia membunuh seorang lelaki. Dia tidak dihentikan oleh sentimen dan moral. Dia bebas dari semua itu. Dia adalah kejahatan yang tulen, terbit dari lohong yang terdalam. Malah dalam semua kegilaan ini, Mr Hyde berasa seronok dengan kebebasannya. Sudah tentu Dr Jekyll tidak mampu berbuat begini kerana dua hal:


1) dia dikotakkan oleh masyarakat elit dan;
2) kewarasannya enggan berbuat sedemikian.
Kejahatan adalah sesuatu yang tak mampu dipisahkan dari diri kita. Kita bisa mengekangnya, menundukkannya, tetapi ia tak terhapuskan. Ia kekal dan wujud sebagai kita, bersebelahan dengan sifat kebaikan. Kita harus menerima dualiti dan kegampangan ini. Masyarakat Victorian waktu itu menyisih logik tersebut, mereka mahu terus hidup dalam hipokrasi dan mimpi sempurna yang palsu. Jika mereka mampu melihat manusia sebagai penuh, barangkali kes aneh seperti Dr Jekyll dan Mr Hyde ini tidak akan timbul.

 

Total Pageviews